Assalamualaikum Wr. Wb.
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala
puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Shalawat serta salam buat
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda :
“Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya :
Pertama : Imam (pemimpin) yang adil.
Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.
Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan mesjid.
Keempat : Dua insan yang berkasih sayang karena Allah, mereka bertemu dan berpisah karena Allah.
Kelima : Insan yang di ajak (di goda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata :
‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah’
Keenam : Insan yang
bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak
mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.
Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu meneteskan air matanya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan
daripada hadits di atas, dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa
terdapat tujuh golongan manusia yang beriman dan bertakwa akan mendapat
rahmat dan perlindungan daripada Allah SWT di hari akhirat nanti ketika
itu tidak ada perlindungan lain yang akan dapat menyelamatkan manusia.
Golongan tersebut adalah seperti berikut :
1. Imam (pemimpin) yang adil.
Seorang
pemipin akan ditanya di akhirat nanti adakah mereka memimpin dengan
adil, amanah, jujur, dan sentiasa berpegang teguh dengan al-Quran dan
Sunnah.
Maksud adil adalah meletakkan sesuatu pada
tempatnya, tidak boleh di katakan adil selagimana seorang pemimpin itu
tidak menggunakan neraca Islam dan neraca Allah SWT di dalam setiap
keputusan dan perlaksanaan di dalam pemerintahannya. Tidak ada undang-undang dan peraturan yang lebih adil melainkan ianya datang dari Pencipta manusia dan alam semesta iaitu Allah SWT.
2. Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.
Pemuda
(rijal) adalah golongan penting di dalam masyarakat Islam, kerana
merekalah yang akan mewarisi kepimpinan negara akan datang. Sesuatu umat
akan menuju kepada kehancuran apabila pemuda-pemudinya telah rosak
akidah dan akhlaknya, lemah daya pemikiran dan intelektualnya dan
hilang semangat jihad.
Pemuda yang menjadi ahli ibadah
ini, yang terpilih mendapat naungan Allah adalah mereka yang hati dan
jiwanya sentiasa mengingati Allah , kuat imannya dan baik akhlaknya dan
sentiasa berterusan dan istiqamah dalam menjalani proses tarbiah dan dia
juga berusaha mengajak pemuda lain untuk duduk dalam Jamaah Islam dan
melaksanakan amal makruf nahi mungkar.
3. Insan yang hatinya terpaut dengan mesjid.
Mesjid
adalah tempat ibadah , di sinilah tempat umat Islam berkumpul untuk
melaksanakan ibadah khusus terutama solat, membaca al-Quran , berzikir ,
tempat majlis-majlis ilmu di jalankan dan tempat perhimpunan dan
perbincangan umat Islam untuk menyelesaikan masaalah mereka.
Para malaikat mendoakan dan mohon rahmat kepada Allah SWT. kepada ahli-ahli mesjid yang menunaikan ibadah dan menuntut ilmu di sini. Di zaman Rasulullah
SAW mesjid berfungsi menjadi tempat semua urusan umat Islam (pusat
pemerentahan, ibadah dan majlis ilmu).
Mereka-mereka yang terpaut hati dengan mesjid dan melaksanakan semua fungsi tadi akan mendapat naungan Allah di akhirat nanti.
4. Dua insan yang berkasih sayang karena Allah, mereka bertemu dan berpisah karena Allah.
Apabila
dua orang saudara muslim bertemu adalah semata-mata untuk mereka
merapatkah rasa ukuwah dan kasih sayang, saling nasihat menasihati,
lengkap melengkapi dan merancang sesuatu atas tanggung jawab macamana
cara-cara untuk menyelamatkan umat ini daripada hanyut di bawa arus
jahiliyah dan terselamat daripada mendapat azab Allah SWT.
Bagaimana
penyebaran Islam , kerja-kerja dakwah dan tarbiah dapat di jalankan
dengan berkesan dan memenuhi sasarannya. Mereka berpisah adalah
semata-mata karena Allah di sebabkan masing-masing kembali ketempat asal
mereka untuk memenuhi tuntutan dakwah dan tarbiah , walaupaun berjauhan
namun perasaan ukuwah dan kasih sayang tetap berterusan.
Allah
SWT. akan memberi pahala dan ganjaran yang besar apabila seluruh masa,
tenaga dan wang ringgit di curahkan semata-mata untuk menjadi khalifah
Allah SWT di muka bumi. Di atas usaha-usaha yang berterusan seperti ini , bertemu dan
berpisah kerana Allah SWT. memang sesuailah mereka mendapat naungan
Allah SWT di akhirat nanti.
Dalam sebuah Hadis Qudsi yang
diriwayatkan di dalam Kitab Al-Muwattha' Imam Malik, Nabi S.A.W telah
bersabda bahawa Allah SWT telah berfirman yang bermkasud:
"Kasih-sayangKu lebih utama untuk mereka yang berkasih-sayang pada
jalanKu, golongan berhimpun dan berkelompok semata-mata karenaKu,
golongan yang saling ziarah-menziarahi karenaKu, dan golongan yang
sentiasa berbelanja dijalanKu"
5. Insan yang di ajak (di goda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata :
‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah’
Perbuatan
zina adalah satu perbuatan yang keji dan hina. Zina boleh merosakkan
keturunan, menimbulkan pergaduhan dan perpecahan dalam keluarga dan
masyarakat. Seseorang yang melakukan zina, dan hasil daripada zina ini
apabila mendapat anak, ia sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa atau
pun membuangkannya merata tempat tanpa belas kasihan semata-mata untuk
menutup malu pada keluarga dan masyarakat. Peribadi seperti ini
kedudukannya lebih rendah dari haiwan kerana haiwan pun mempunyai
perasaan kasih sayang pada anak-anaknya.
Nabi SAW.
bersabda : “Dan siapa-siapa yang berzina dengan seorang
perempuan, sewaktu berbangkit dari kuburnya kelak, sesungguhnya ia
merasa sangat haus.”
Oleh karena betapa besarnya mudharat zina ini,
Allah SWT. akan memberi ganjaran pahala yang besar dan memberi
naungan-Nya di akhirat nanti kepada sesiapa sahaja di kalangan
hamba-hamba-Nya yang sanggup menolak ajakan zina oleh perempuan cantik
dan berpangkat dengan kata-kata, “Sesungguhnya aku takut kepada Allah.”
seperti mana Nabi Yussuf a.s. menolak ajakan isteri pembesar Mesir ketika
itu untuk melakukan zina.
6. Insan yang bersedekah
dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui
apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.
Harta adalah
salah satu komponan penting di dalam pembinaan masyarakat Islam. Tanpa
ada harta dan kekuatan darisegi ekonomi sesebuah negara Islam itu tidak
mempunyai kekuatan untuk mempertahankan diri daripada musuh-musuhnya.
Dengan adanya harta dan kewangan yang kukuh dapat mempertingkatkan
pertahanan negara dengan senjata dan peralatan yang cangih ,
mempertingkatkan pembangunan dan ekonomi negara.
Islam
menggalakkan sedekah dari golongan kaya kepada golongan miskin , supaya
jurang perbezaan di antara mereka dapat di kurangkan. Di dalam hadits yang
lain Nabi SAW ada menyatakan bahawa salah satu golongan yang akan masuk
syurga bersama-sama golongan yang mati syahid dan ulama adalah
dermawan yang menyumbangkan hartanya di jalan Allah semata-mata mencari
keredan-Nya. sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di
berikan oleh tangan kanannya. Dari sumbangan golongan yang berharta ini ,
di berinya tanpa di canang-canangkan di dalam akhbar, akan
mengharmonikan hidup bermasyarakat dan membantu mengukuhkan kekuatan
negara. Insan budiman lagi dermawan ini akan mendapat naungan Allah SWT
di akhirat nanti.
7. Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya.
Doa dan munajat adalah senjata orang mukmin. Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Dan
apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, sesungguhnya Aku
dekat. Aku menyahut doa orang berdoa, tatkala dia berdoa kepada-Ku,
justeru sahutlah seruan-Ku.”
(Surah al-Baqarah ayat 186).
Orang
mukmin pada siang harinya dia menjadi ‘singa’, bekerja
bersungguh-sungguh dalam semua urusan . Dalam urusan kerjayanya mencari
nafkah, dalam urusan dakwah dan tarbiah dan dalam urusan membantu
masyarakat. Tetapi pada malam hari menjada abid , membaca al-Quran ,
berzikir , bersolah tahajud dan berdoa kepada Allah hingga meneteskan
air mata.
Dia rasa diri ini kerdil dan terlalu banyak
dosa-dosa yang di lakukan, sekiranya tanpa belas kasihan Allah SWT dia
merasakan dia tidak dapat menyelamatkan diri dari azab Allah di hari
akhirat nanti. Pribadi mukmin seperti ini akan termasuk dalam golongan
ketujuh iaitu golongan yang mendapat naungan Allah SWT. di hari akhirat
nanti.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita berusaha untuk meningkatkan amal ibadah dan amal soleh kita semata-mata mencari keridhaan Allah SWT. Jalan keselamatan untuk
terselamat dihari akhirat telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW kepada
kita semua iaitu tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan
Arsy Allah SWT, oleh itu berusaha dan berdoalah semoga kita menjadi
salah satu golongan yang dipilih oleh-Nya untuk mendapat
perlindungan-Nya nanti.
Amin
Wassalamu'alaikum Wr. Wb.
0 komentar:
Post a Comment